Pasukan bomba membantu mengangkat mauat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.
SANDAKAN: Seorang lelaki berumur 33 tahun yang hilang semasa memukat udang di sini sejak Jumaat telah ditemukan oleh orang awam pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Severinus Nidzam @ Sainkui berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Mohammad Saidin Salapudin, telah ditemukan pada jarak dua batu selatan nutika Pulau Berhala pada jam 8.55 pagi dan disahkan meninggal oleh pihak polis.
“Pasukan bomba bertindak membantu mengangkat mangsa dari bot orang awam ke kenderaan polis (Land Rover) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Severinus, kejadian berlaku di Perairan Pulau Berhala, Sandakan pada kira-kira jam 6 pagi Jumaat.
“Bilik kawalan BBP Sandakan menerima panggilan daripada pihak Angkatan Pertahanan Awam (APMM) memohon bantuan mencari orang hilang di laut di alamat Perairan Pulau Berhala, Sandakan.
“Pihak APMM melaporkan, seorang nelayan dipercayai telah keluar daripada jeti Pulau Berhala pada jam lebih kurang 6 pagi menuju ke perairan Pulau Berhala untuk menjalankan aktiviti memukat udang.
“Mangsa sepatutnya pulang pada jam 3 petang, namun pada jam 2 petang bot mangsa dijumpai oleh penduduk kampung tanpa pengemudi. Pencarian mangsa telah dilaksanakan oleh orang kampung namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya.
Menurut Severinus, pasukan bomba bertindak dengan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pinggir pantai bersama agensi bantuan yang lain.
SAR pada hari kedua iaitu pada Ahad, mangsa telah ditemukan oleh pasukan pencari yang terdiri daripada orang awam.



























