Masidi (kiri) menerima cendera kenangan daripada Mohd. Fazlie
RANAU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun telah merasmikan surau baharu Rumah Putera Harapan (RPH) dan seterusnya berbuka puasa dengan pengurusan dan pelajar-pelajar RPH serta para jemputan lain di Kampung Lohan Skim 2, di sini, kelmarin.
Dalam majlis tersebut, Masidi turut mengumumkan peruntukan khas RM50,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan kemudahan dan pengurusan RPH.
“Diharap sumbangan ini mampu membantu pihak RPH dalam menambah baik pengurusan dan pentadbiran bagi mengelola rumah anak yatim ini,” kata Masidi.
Beliau turut menandatangani plak sebagai tanda merasmikan surau yang baru dibina sambil disaksikan pihak pengurusan RPH dan orang ramai.
Hadir sama ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin, Pengerusi PELADANG Kinabalu Ranau, Datuk Faimin Kamin, Pengerusi RPH, Haji Sunoto Yahmin, Pengurus RPH Ranau, Mohd. Sabri Abdulla, Yang Dipertua ABIM Cawangan Ranau, Mohd. Fazlie Middie serta AJK Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Karanaan dan Paginatan.
Sepanjang bulan Ramadan ini RPH aktif menganjurkan aktiviti keagamaan termasuk Solat Sunat Tarawih bertujuan memupuk ikatan silaturrahim dan ukuwah untuk masyarakat sekitar dan pelajar RPH.





























