Hajiji disambut oleh ahli-ahli media setibanya pada majlis berbuka puasa dengan media di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat menghargai peranan media dalam membangkitkan isu-isu yang melanda negeri dan rakyat.
“Kerajaan Negeri menghargai peranan anda dalam aspek ini dan saya pasti media akan terus mendengar dan melaporkan isu-isu berkaitan supaya tindakan boleh diambil.
“Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik untuk bertindak ke atasnya,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Mengadakan majlis berbuka puasa bersama pengamal media Sabah di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa di sini hari ini, beliau berkata, media juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan rakyat kerana laporan media merupakan sumber maklumat Kerajaan di peringkat akar umbi.
“Sekali lagi Kerajaan berterima kasih kepada media dalam melaporkan usaha Kerajaan dahulu, sekarang dan akan datang.
“Malah semasa kekacauan politik di Sabah baru-baru ini, media adalah antara sumber maklumat utama untuk rakyat mengetahui keadaan sebenar,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Menteri menggesa media supaya bertanggungjawab, profesional dan mematuhi etika dalam pelaporan supaya rakyat tidak keliru dan cemas.
Hajiji berkata, sepanjang bulan Ramadan, beliau juga telah menghadiri majlis berbuka puasa di pelbagai tempat termasuk di Semenanjung Malaysia yang disertai oleh semua kaum dan agama.
Ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya, yang mesti dipelihara walau apa cara sekalipun.
Bagi tujuan ini, Hajiji berkata, media massa mempunyai peranan penting dalam memastikan perpaduan terus kukuh dan keamanan terpelihara dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Kerajaan Negeri sentiasa berharap pihak media memberi kerjasama dengan menyediakan laporan yang positif dan seimbang selain melindungi sensitiviti agama dan kaum,” katanya.
Hajiji turut menyeru media untuk terus menyokong agenda pembangunan kerajaan khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pembantu-pembantu Menteri, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Mugunthan Vanar, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Jimmy Goh, ketua-ketua pengarang dan biro.



























