KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan mengumumkan laporan lengkap Laporan Siasatan Akhir Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ yang berlaku pada 6 Jun 1976 (“Double-Six Tragedy”) kini boleh dimuat turun dari laman web rasmi Kementerian di :
Https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/n22b-nomad
Atau,
Menterinya, Anthony Loke berkata, susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 April 2023 berkenaan Laporan Siasatan Akhir Kemalangan Udara Pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ yang berlaku pada 6hb Jun 1976 (Double-Six Tragedy), beliau mengumumkan bahawa proses untuk menyahklasifikasi laporan tersebut telah selesai pada 6 April 2023.
“Sebagai Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab ke atas penerbangan awam dan siasatan kemalangan udara, saya telah mengelaskan semula laporan siasatan akhir tersebut sebagai dokumen terbuka dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Untuk makluman,laporan siasatan akhir kemalangan udara Nomad N22B 9M-ATZ disiapkan pada 25 Januari 1977 dan kemudian dibentangkan ke Jemaah Menteri pada bulan Mac 1977.
“Namun begitu, hasil siasatan laporan tersebut tidak pernah diumumkan.
“Oleh demikian, selama hampir 47 tahun ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat tidak dapat mengetahui fakta dan sebab di sebalik nahas kemalangan udara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai sebelas nyawa telah terkorban dalam tragedi Double-Six, termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu seperti berikut:
I. Tun Fuad Stephens – Ketua Menteri Sabah
II. Datuk Peter Joinod Mojuntin – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah
III. Datuk Chong Thien Vun – Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah
IV. Datuk Salleh Sulong – Menteri Kewangan Sabah
V. Datuk Darius Binion – Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah
VI. Datuk Wahid Peter Andau – Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah
VII. Dr Syed Hussein Wafa – Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah
VIII. Ishak Atan – Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia
IX. Koperal Said Mohammad – Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah
X. Johari Fuad Stephens – Anak kepada Ketua Menteri Sabah
XI. Gandhi J Nathan – Juruterbang Pesawat 9M-FTZ
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris kepada mangsa-mangsa yang terkorban.
“Di peringkat Kementerian Pengangkutan, setiap insiden penerbangan haruslah disiasat secara telus dan menyeluruh untuk menerap kepercayaan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam membina sebuah industri penerbangan yang berkredibiliti dan menepati piawian tertinggi. Kementerian Pengangkutan komited untuk meneruskan dasar keterbukaan ini,” kata Loke.



























