Antara suasana semasa Majlis Berbuka Puasa HASiL dan Apresiasi Media Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Program Pengakuan Secara Sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, program tersebut memberi peluang kepada pembayar cukai melaporkan pendapatan tanpa dikenakan sebarang penalti.
“Sepertimana diumumkan semasa belanjawan 2023, program ini menunjukkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat dengan memberi ruang sama ada kepada individu mahupun perniagaan untuk tampil secara sukarela.
“Keistimewaan yang akan diberikan oleh kerajaan adalah pembayar cukai yang tampil tidak akan dikenakan sebarang kenaikan atau penalti.

Nizom (kiri) menyerahkan plak cenderamata kepada antara pengamal media.
“Pihak LHDN akan menerima setiap laporan tanpa pertanyaan lanjut dan tahun-tahun di mana pelaporan ini dibuat juga tidak akan disemak atau dibuka untuk diaudit.”
Kepada yang belum pernah melaporkan atau mengisytiharkan pendapatan, inilah peluang untuk tampil secara sukarela dan bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dalam usaha untuk membangun negara,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Apresiasi Media Negeri Sabah di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah LHDN Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Wan Ramiza Wan Ghazali dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Peter Tong Ah Pin.





























