Mangsa didukung turun dari Panalaban, Gunung Kinabalu. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita berusia 33 tahun didukung turun Gunung Kinabalu selepas mengalami kecederaan pada buku lali kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, mangsa tercedera semasa berada di lokasi kira-kira 400 meter sebelum Panalaban, Gunung Kinabalu pada sekitar jam 10.40 pagi.
“Bilik Kawalan BBP Ranau menerima laporan daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat (Mosar) mengatakan terdapat seorang pendaki wanita berumur 33 tahun mengalami kecederaan pada buku lali kiri.
“Rawatan awal diberikan oleh Malim Gunung dengan membalut menggunakan bandage. Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan teknik piggy back carrying.
“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Taman-Taman Sabah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 4.22 petang,” katanya.





























