Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kereta di Sandakan awal pagi tadi.
SANDAKAN: Sebuah kereta Naza Kia Sorento terbakar di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, kejadian berlaku di Taman Harbour View pada kira-kira jam 3.30 pagi.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.38 pagi dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Saidha Yulius dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Naza Kia Sorento terbakar 100 peratus pada bahagian enjin. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hose reel sumber air dari jentera FRT,” katanya, sambil menambah, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.51 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi.

Stor yang musnah dalam kebakaran di Tuaran.
Sementara itu, di TUARAN, bomba dipanggil untuk memadamkan kebakaran melibatkan sebuah stor pondok penyimpanan barang.
Ketua Balai BBP Tuaran, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abd. Gapar berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Kaung Lapai, Tamparuli, pada kira-kira jam 4 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Azran Jull dihantar ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 45 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah stor pondok penyimpanan barang-barang berkeluasan 20×30 terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 300 kaki satu pancutan sumber air dari jentera FRT,” katanya.
Qawie berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.20 pagi dan setelah memastikan tiada keberbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 5.4 pagi.























