Masiung (dua dari kanan) ketika melawat tapak projek perumahan Kg. Serusup sambil diberi taklimat mengenai projek itu.
TUARAN: Satu lagi projek perumahan rakyat akan dibina di Kampung Serusup, empat kilometer dari Pekan Tuaran, di mana Kerajaan Negeri bakal menyediakan 1,853 unit rumah mampu milik untuk golongan B40.
Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dijangka melaksanakan projek tersebut dalam tempoh terdekat sebaik sahaja perjanjian tambahan usaha sama (kali kedua) dengan pemaju ditandatangani selepas bulan Ramadan ini, kata Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.
“Seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan telah diwartakan untuk mendirikan perumahan tersebut yang mengandungi lima blok pangsapuri yang menelan belanja RM406 juta,” katanya semasa melawat tapak cadangan projek itu, semalam.
Masiung berkata, daripada bilangan itu, tiga blok pangsapuri mengandungi 1,062 unit kediaman dibina di tapak seluas 8.92 ekar.
Selebihnya, dua blok lagi mengandungi 792 unit dibina bersebelahan di atas tanah seluas 6.69 ekar dengan jarak lokasi 500 meter.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, projek perumahan mampu milik berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan tempat kediaman rakyat terutamanya golongan B40.
Kata Masiung, projek perumahan itu dijangka siap pada 2025 dan setiap unit pangsapuri mengandungi dua bilik akan dijual pada kadar RM250 ribu ke atas.
Menurut beliau, perumahan mampu milik itu dilaksanakan secara usahasama dengan pemaju tempatan.
Semasa lawatan ke tapak itu, Masiung diiringi Timbalannya, Datuk Hajah Jamilah Antalip dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPPB.
Pengurus Besar, Rosemary Ahping, Pengurus Komersial, Della Sindul dan Pegawai Tanah, Isidore Lajawah turut hadir bersama wakil Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah.

























