Nik Nazmi Nik Ahmad
KUALA LUMPUR: Dasar Tenaga Diperbaharui (RE) masih dikekalkan, bagaimanapun kerajaan kini sedang meneliti untuk mengeksport tenaga baharu berikutan terdapat permintaan mengenai perkara tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebarang perubahan yang dibuat akan mengambil kira kepentingan negara selain beberapa faktor termasuk perjanjian yang ditandatangani negara luar seperti Indonesia dan Kemboja dengan Singapura untuk mengeksport RE.
“Jika kita mengubah dasar eksport RE ini, pertama sekali ia mesti mengikut sistem kita sendiri, kemudian benda ini bukan ada jumlah yang terhad, tetapi jika berlakunya eksport sebagaimana perdagangan dengan yang lain juga, ia membolehkan kita untuk scale up kapasiti tenaga boleh baharu.
“Sekarang pun walaupun kita dah revise tarif di sektor industri dan komersial yang menggunakan high dan medium voltage, kita punya tarif dalam sektor itu masih lagi ada subsidi.
“Jadi itu antara kekangan untuk membolehkan sektor RE kita berkembang kerana mereka tidak dapat menjual tenaga yang mereka jana itu kepada harga yang komersial, tetapi di negara seperti di Singapura, ia adalah harga pasaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), adakah kerajaan akan mengubah dasar RE yang dilihat banyak membantu kemasukan industri RE apabila tidak dieksport keluar.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, jika terdapat perubahan kepada dasar tersebut setelah penelitian dilakukan, pihaknya tidak bercadang untuk mengeksport secara keseluruhan.
Sebaliknya, sebahagian sahaja yang berkemungkinan akan dieksport ke Singapura, sementara sebahagian lagi akan disalurkan ke industri dalam negara.
“Apa juga keputusan yang dibuat, kita akan melihat kepentingan negara, kita bukan nak jual semua kalau ya pun. Kita boleh jual kepada singapura sebahagiannya dan selebihnya disalurkan kepada industri di negara kita,” jelasnya.