Keadaan kereta yang dipandu seorang guru sebuah sekolah di daerah ini yang maut dalam kejadian kemalangan Kilometer 0.1, Jalan Dato’ Sedia Raja – Mampong, Rembau.
REMBAU: Seorang guru sebuah sekolah di daerah ini maut selepas terbabit nahas di Kilometer 0.1, Jalan Dato’ Sedia Raja – Mampong, di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.34 petang itu, mangsa, Zafirah Mohd. Al Hafiz, 37, beralamat di Taman Krubong Utama, Melaka, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Bezza datang dari arah Mampong menghala ke Jalan Dato’ Sedia Raja.
“Semasa sampai di tempat kejadian melepasi lampu isyarat pekan Rembau, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar tembok penghadang jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat,” katanya kelmarin.
Jelas Hazri, punca kemalangan disebabkan hilang kawalan dan dipercayai serangan jantung namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

























