Pasukan bomba ketika mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas kenderaan pacuan empt roda dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di sini awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyekamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, kejadian berlaku di Batu 5 Jalan Labuk, di sini, pada kira-kira jam 1 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.02 pagi dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Alan Ayuh dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lima kilometer dari balai itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri melanggar pokok.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dilaporkan seorang daripadanya, Raynerd Noell Tan, 22 disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.
“Seorang lagi lelaki dilaporkan mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” kata beliau.
Menurut Jimmy, setelah memastikan tiada lagi keberbahayaan lain, operasi ditamatkan pada jam 1.49 pagi.

























