KOTA KINABALU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah telah menganjurkan Lawatan Penanda Aras, Taklimat Pemasaran Produk & Padanan Perniagaan Bersama Gerakan Koperasi Sabah ke koperasi-koperasi terpilih di Miri, Sarawak dari 8 hingga 10 Mac.
Seramai 36 orang peserta yang diwakili oleh 10 orang ahli koperasi Sabah termasuk pegawai SKM Negeri dan Wilayah terlibat dalam program ini.
Program tersebut diadakan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi masing-masing seterusnya memperluaskan pasaran sedia ada.
Selain itu, ia juga bagi mewujudkan jaringan perniagaan, perkongsian teknologi, maklumat dan kerjasama pembangunan ekonomi koperasi di kedua-dua negeri.
Di samping itu, lawatan berkenaan juga adalah bagi mengeratkan silaturrahim dan hubungan kerjasama di antara SKM Sabah dan Sarawak demi pembangunan gerakan koperasi di Malaysia.

Susulan lawatan tersebut tiga buah koperasi Sabah iaitu Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Wanita DUN Lumadan Beaufort Berhad dan Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad bersetuju untuk menjalinkan kerjasama menerusi business matching bersama Koperasi Komuniti Siti Payung Miri Berhad.
Sementara itu, Koperasi Pembangunan Desa Saradan Tenghilan Berhad telah berjaya memasarkan produk di premis Koperasi Komuniti Siti Payung Miri Berhad bermula 9 Mac 2023 sebagai permulaan dalam memasarkan produk ke Sarawak yang dikeluarkan oleh koperasi di Sabah.
Menerusi Program Biz Match dengan pengisian taklimat pemasaran produk dan perkhidmatan koperasi serta jualan produk koperasi di Auditorium Pustaka Miri, jumlah jualan sebanyak RM2,337 telah diperolehi dengan penglibatan lapan buah koperasi iaitu tiga dari koperasi Sabah dan lima dari Sarawak.
Program tersebut telah banyak memberi inspirasi, idea dan pengetahuan kepada gerakan koperasi Sabah agar terus maju ke hadapan dalam memacu pembangunan koperasi progresif, insklusif dan mampan.
Turut hadir Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Ruslan Haji Muharam, Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin, Pengarah SKM Sarawak, Liew Liuk Chi, dan para Pegawai SKM Sabah dan Sarawak.























