Ewon menerima cenderahati daripada Jannie.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan hormat daripada rombongan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di Pejabatnya di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Jannie Lasimbang dan disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Robert Stidi, Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee Nyuk Choon, Pengurus Perancangan dan Pembangunan KPD, Doulim Salag, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Jenny M.P.Kok dan pegawai-pegawai kanan KPD.
Jamilah berkata, antara yang dibincangkan dalam kunjungan itu ialah cadangan KPD untuk menubuhkan sebuah Pusat Penetasan Anak Ayam, Kilang Pengeluaran Makanan Ternakan dan Kilang Penyembelihan Ayam.
Beliau berkata, Pusat Penetasan Anak Ayam ini penting untuk menjamin bekalan anak ayam yang konsisten serta berkualiti untuk dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha ternakan ayam di bawah KPD.
“Setakat ini KPD mempunyai 44 peserta kontrak Ternak Ayam Pedaging dan jumlah ini boleh ditingkatkan dengan adanya pusat ini kelak.
“Anggaran kos projek untuk Pusat Penetasan Anak Ayam sejumlah RM25,009,450 termasuk kos pembangunan, operasi, pengurusan dan pentadbiran,” katanya.
Mengenai Kilang Pengeluaran Makanan Ternakan dan Kilang Penyembelihan Ayam, Jamilah berkata, kilang itu penting supaya KPD tidak perlu bergantung kepada mana-mana pengilang makanan ternak dan menjimatkan kos penyembelihan ayam.
Beliau berkata, anggaran kos projek Kilang Pengeluaran Makanan Ternakan sebanyak RM28,323,400 dan Kilang Penyembelihan Ayam pula dianggarkan sejumlah RM12,910,000.
“Pada masa ini, KPD membeli makanan ayam dari tiga pengilang utama di Sabah dan membekalkannya kepada peserta projek sebagai sebahgian daripada input ladang.
“Bagaimanapun isu utama yang dihadapi pada masa ini ialah kegagalan pengilang-pengilang berkenaan membekalkan makanan ternak selaras dengan keperluan pada masa-masa tertentu. Senario ini akan menjejaskan pertumbuhan ternakan dan merugikan penternak.
“KPD juga memerlukan Kilang Penyembelihan Ayam kerana ketika ini KPD bergantung kepada pihak ketiga dan kos penyembelihan ayam sentiasa meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Ewon berkata, beliau akan membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh KPD kepada kementerian berkenaan.
“Saya akan membincangna cadangan-cadangan itu dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanana Mohamad Sabu,” katanya.































