Rubin Balang
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) semakin terdesak sehingga membuat tuduhan dan andaian jahat terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Naib Presiden II Gagasan Rakyat, Datuk Rubin Balang berkata, Warisan yang semakin kehilangan sokongan dan pengaruh sengaja membuat tuduhan jahat dan tidak berasas terhadap GRS dan Gagasan Rakyat.
Beliau berkata, dakwaan Warisan bahawa GRS dan Gagasan Rakyat akan meninggalkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan seperti yang didakwa oleh Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Azis Jamman merupakan tuduhan yang berniat jahat tanpa sebarang bukti.
Menurutnya, Warisan yang menghadapi krisis sokongan berikutan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli-ahli dan penyokongnya meninggalkan parti tu, terpaksa menggunakan helah GRS dan Gagasan Rakyat akan tinggalkan Perdana Menteri untuk mendapatkan perhatian penyokong dan rakyat.
“Ini amat jelas bahawa Warisan semakin terdesak dan bimbang dengan pengaruh dan kekuatan GRS dan Gagasan Rakyat yang semakin mendapat sokongan daripada rakyat negeri ini,” kata Rubin yang juga ADUN Kemabong dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Aziz yang mendakwa GRS dan Gagasan Rakyat akan menjadi parti pertama meninggalkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, jika politik negara bergolak sekali lagi.
Rubin berkata, Aziz tidak perlu bimbang terhadap soal sokongan GRS dan Gagasan Rakyat kepada Perdana Menteri, sebaliknya beliau sepatutnya bimbang dengan trend semakin ramai pemimpin dan ahli-ahli Warisan meninggal parti itu sejak akhir-akhir ini.
Katanya, tidak timbul soal GRS dan Gagasan Rakyat akan meninggalkan Perdana Menteri kerana persefahaman, hubungan dan kerjasama yang erat di antara Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji dan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar.































