Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mencadangkan projek-projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta perlu disalurkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan Sabah.
Katanya, ini bagi memastikan Kerajaan Negeri bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan projek pembangunan tersebut.
“Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, senario kelewatan projek pembangunan tetap boleh berlaku walaupun dengan pengikhtirafan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai jabatan teknik.
“Prosedur perolehan yang berkaitan perlulah diselaraskan bagi mengelak kelewatan agar pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar.
“Penurunan kuasa menandatangani surat setuju terima (SST) dan kontrak bagi semua projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta juga mestilah dari Kementerian Kewangan Sabah dan tidak lagi daripada Menteri di Kementerian Pelanggan,” katanya ketika membahas untuk menyokong Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, malam tadi.
Shahelmey merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penurunan kuasa projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada Kerajaan Negeri.
“Saya percaya peruntukan pembangunan bernilai sehingga RM50 juta ini dapat dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” katanya, sambil turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan terhadap Jabatan Kerja Raya Sabah dan Jabatan Pengairan Saliran Sabah sebagai jabatan teknik di bawah AP182 pada 4 Januari 2023.



























