Pasukan bomba semasa berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang pemeliharaab ikan air masin, sebuah rumah pekerja, sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot di Kota Kinabalu hari ini. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Sebuah kilang pemeliharaan ikan dan rumah pekerjanya musnah dalam satu kebakaran yang berlaku dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi memberitahu, kejadian berlaku di Kilang Co Marine Seafood Sdn Bhd pada kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Panggilan diterima melalui talian MERS999 pada jam 7.14 pagi dan sepasukan anggota dari BBP Lintas bergegas ke lokasi. Mereka dibantu oleh anggota dari Balai Bantuan BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.
“Turut turun ke lapangan adalah Komander Operasi, PBK II (KUP) Alcoponcos Justin, Pegawai Kanan Zon, PgKB I Misran Bisara, Pegawai Hq, PgKB I Hj Hamsa Isnurdini, PgKB II Kenneth Wilfred, PKPgB Dunstan Peter, PB Rohaide Shah Gimas dan Pegawai KOK, PKPgB Fazizul Hizam Borhan,” katanya.
Menurut Agustavia, setiba di lokasi yang terletak 29 kilometer dari BBP Lintas itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah kilang pemeliharaan ikan air masin dan rumah pekerja jenis separuh kekal berukuran 30×100 kaki dan 15×30 kaki terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax dan bot terbakar 100 peratus. Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 300 kaki dua pancutan sumber air dari jentera dan air terbuka (air sungai).
“Tiada mangsa terlibat dilaporkan. Setelah memastikan tiada lagi keberbahayaan lain, operasi terkawal pada jam 8.30 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.46 pagi,” katanya.























