KULAI: Seorang lelaki cedera parah diserang enam lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Senai Utama, di sini, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.30 pagi.
Menurutnya, mangsa berusia 44 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian perut dan kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Risikan dan Operasi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah menjalankan beberapa serbuan, kelmarin dan semalam.
“Serbuan di sekitar Senai telah berjaya menahan seramai enam lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan suspek.
“Polis masih mencari beberapa individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan. Sementara itu, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kesemua suspek yang ditahan telah dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beng Yeow meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Azri menerusi talian 010-7647789.

























