IPOH: Kegembiraan sebuah keluarga beriadah bertukar pilu apabila dua kanak-kanak ditemukan mati lemas dalam sebuah kolam renang di sebuah hotel di sini semalam.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan adik lelakinya berusia lapan tahun, datang untuk mandi-manda di kolam renang itu bersama bapa dan abang mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 6.10 petang, semalam.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat dua mangsa telah lemas ketika berenang di kolam renang berkenaan.
“Dua beradik berasal dari Ipoh itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
“Hasil bedah siasat ke atas mayat kedua-dua mangsa mendapati punca kematian akibat lemas,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana mengabaikan dan mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

























