Thomas H. Lee
NEW YORK: Bilionair Amerika Syarikat (AS), Thomas H. Lee, 78, perintis perniagaan ekuiti persendirian ditemukan mati di pejabatnya di di 767 Fifth Avenue, Manhattan, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, The New York Post melaporkan, mendiang meninggal dunia dalam keadaan luka ditembak yang dipercayai dilakukan sendiri di pejabatnya.
Polis New York, NYPD mengesahkan mengenai penemuan mayat individu di ruang pejabat berkenaan.
Alamat tempat kejadian adalah tempat pejabat mendiang, Capital LLC yang disenaraikan di pasaran saham.
Menurut Forbes, kekayaan mendiang Lee bernilai AS$2 bilion (RM8.87 bilion) sewaktu kematiannya.
Jurucakap polis tidak mengesahkan lelaki itu meninggal dunia akibat luka tembakan yang dilakukan sendiri, namun, punca kematian ditentukan oleh pemeriksa perubatan.
Keluarga mendiang Lee berkata, mereka amat sedih dengan kematian lelaki berusia 78 tahun itu.
Dalam satu kenyataan kepada BBC News, polis berkata mereka menjawab panggilan 911 pada pukul 11.00 pagi (waktu tempatan) dari dalam pejabat di Fifth Avenue.
“EMS (Perkhidmatan Perubatan Kecemasan) bertindak balas dan menyatakan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” kata mereka.
Kenyataan oleh rakan keluarga dan jurucakap, Michael Sitrick berkata, walaupun dunia mengenalinya sebagai salah seorang perintis dalam perniagaan ekuiti persendirian dan ahli perniagaan yang berjaya, mereka mengenalinya sebagai suami, bapa, datuk, adik beradik, kawan dan dermawan yang setia.
“Mendiang sentiasa mengutamakan keperluan orang lain daripada keperluannya sendiri,” ujar mereka.























