Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang akhbar di Maktab PDRM, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu laporan bedah siasat mayat anggota polis berpangkat sarjan yang maut selepas ditemukan dengan tiga kesan tembakan di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang, Ahad lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini kes tersebut klasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat daripada pasukan perubatan.
“Polis tidak pernah tutup atau melindungi salah laku mana-mana pihak, kita akan siasat kes ini sebaik mungkin bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Saya turut berdukacita dengan kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga anggota itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah tugas di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Ahad lalu, seorang anggota polis berpangkat sarjan berusia 51 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala di belakang Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Diminta mengulas mengenai perkembangan penemuan mayat lelaki warga asing tanpa kepala di Sungai Buloh, Acryl Sani berkata, polis masih memerlukan saksi berhubung kes terbabit.
“Kes tersebut masih di dalam proses siasatan, jadi kita mohon individu yang menjadi saksi kejadian tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.
“Kejadian ini berlaku di kawasan yang tiada kamera litar tertutup (CCTV) oleh itu kita memerlukan bantuan orang awam sekiranya mengetahui sedikit sebanyak tentang kes ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohdz Nazlan Mohd Ghazali yang membuat laporan polis menafikan tuduhan yang dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin dalam satu artikel pada April tahun lalu, beliau memberitahu, perkara itu masih dalam siasatan dan sebarang perkembangan lanjut kes dimaklumkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya sebelum ini dilaporkan berkata, artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.



























