Masiung Banah
KOTA KINABALU: Program Menu Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan di Semenanjung wajar diperluaskan di Sabah, Sarawak dan Labuan supaya rakyat sini turut sama mendapat nikmat inisiatif tersebut.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah menyambut baik program tersebut dan berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mewujudkan sesi libat urus bagi melaksanakan program berkenaan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, program itu amat besar manfaatnya lebih-lebih lagi jika ia diwujudkan dalam premis makanan di kawasan perkampungan universiti atau institusi pendidikan awam.
“Sekurang-kurangnya ia dapat meringgankan bebanan golongan pelajar kalangan B40 yang cuma bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan dari ibu bapa,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, Kerajaan mengumumkan pengenalan Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga serendah RM5 ke bawah bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah.
Menteri KPDN. Datuk Seri Salahuddin Ayub dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia minggu depan.
“Kita melihat inisitif itu memang bagus serta mampu menjadi daya tarikan penghujung ke permis makanan bagi menjimatkan perbelanjaan harian.
“Tawaran harga juadah yang disediakan cukup berpatutan dan dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi sekarang,” katanya.
Menurut Masiung, adalah kurang adil jika program itu hanya diperkenalkan di Semenanjung Malaysia, tetapi penduduk di Borneo juga perlu dilibatkan supaya wujud inisiatif sama rata.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan KPDN agar membuat pemantauan dari masa ke semasa supaya peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi Menu Rahmah.
Menu itu merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur yang ditawarkan untuk sajian tengah hari dan malam.