Dr. Kasim (duduk,tiga kanan) merakamkan gambar bersama delegasi GIOAS serta pegawai utama dan kanan UMS.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk mengadakan kolaborasi bersama George Town Institute of Open and Advanced Studies (GIOAS), sebuah institut di bawah Wawasan Open University, Pulau Pinang.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, antara kolaborasi yang boleh dibincangkan adalah berkaitan penyelidikan dalam bidang ekonomi dan pemuliharaan alam di negeri Sabah.
“Selain itu, UMS dan GIOAS juga boleh mengadakan kerjasama dalam pelaksanaan program-program berkaitan libatsama masyarakat yang akan diadakan di negeri Sabah.
“Jalinan kolaborasi ini tentu sekali sangat bermanfaat kepada UMS khasnya dan masyarakat secara amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Kolaborasi UMS – GIOAS di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS baru-baru ini.
Pada mesyuarat tersebut, Kasim mengalu-alukan kehadiran delegasi GIOAS yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Andrew Sheng yang juga merupakan Pro-Cancelor Bristol University, United Kingdom.
Beliau turut memaklumkan, Tan Sri Andrew Sheng merupakan anak kelahiran Sabah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia perbankan, antaranya pernah berkhidmat di Bank Dunia dan pernah menjawat jawatan penting sebagai pengerusi Hong Kong Securities and Futures Commission (SFC), serta merupakan ahli lembaga dalam Khazanah Nasional Berhad.
Andrew Sheng, Pengerusi GIOAS yang juga Pro-Cancelor Bristol University ialah anak kelahiran Sabah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia perbankan. Beliau pernah berkhidmat di Bank Dunia dan pernah menjawat jawatan penting sebagai pengerusi Hong Kong Securities and Futures Commission (SFC) dan ahli lembaga dalam Khazanah Nasional Berhad. Ahli Deligasi GIOAS lain yang hadir termasuk Dr. Douglass Carmichael dan Dr. Shiu Man Fai.
Antara yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut ahli delegasi GIOAS, Dr. Douglass Carmichael dan Dr. Shiu Man Fai; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri; Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Professor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, Dr. Chin Pei Yee; serta wakil daripada Fakulti Perhutanan Tropika, Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, dan Pusat Komunikasi Korporat.





























