Perodua Myvi terbabas di tepi jalan selepas diseret oleh sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 20, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Padang Tengku di Lipis, Pahang. – Utusan/Ihsan Pengguna Jalan Raya.
LIPIS: Seorang lelaki cedera apabila kereta dipandunya diseret sebuah lori di kilometer 20, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Jambatan Padang Tengku di sini.
Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh lebih dua kilometer ekoran kenderaan yang terlibat menghalang lalu lintas dan hanya satu lorong menghala ke Lipis boleh dilalui.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.40 petang semalam tentang kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori jenis Volvo dan Perodua Myvi.
“Siasatan polis mendapati lori dan kereta berkenaan datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.
“Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai cuba memotong lori berkenaan namun datang kenderaan dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, pemandu Perodua Myvi kemudiannya bertindak masuk di hadapan lori secara tiba-tiba dan menyebabkan kenderaan berat tersebut mengheret kereta tersebut.
Katanya, kejadian itu menyebabkan pemandu kereta mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca dalam keadaan baik, bentuk jalan lurus dan garisan berkembar sebagai pembahagi jalan,” jelasnya.