Mbappe menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Denmark di Stadium 974 di Piala Dunia 2022.
DOHA: Dua gol daripada Kylian Mbappe ketika menewaskan Denmark 2-1 pagi ini menjadikan pasukan Perancis sebagai pasukan pertama layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022.
Kemenangan tersebut membolehkan Perancis mengutip enam mata untuk menerajui Kumpulan D dan tidak perlu menunggu perlawanan terakhir untuk mengesahkan ke pusingan kedua.
Menurut Utusan Malaysia, dalam perlawanan di Stadium 974 itu, Mbappe menjaringkan gol pertama pada minit ke-61 sebelum Adreas Christensen berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada tujuh minit kemudian.
Mbappe muncul wira Les Blues apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 selepas menyudahkan hantaran silang Antoine Griezman.
Pada perlawanan terakhir kumpulan nanti, Perancis akan berdepan Tunisia manakala, Denmark akan berdepan Australia untuk menentukan nasib mereka dalam saingan Piala Dunia 2022.