PETALING JAYA: Kertas siasatan pemilik TwitterZulfadli @Bumilangit akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi tindakan lanjut selepas siasatan dilengkapkan.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin mengesahkan ini dan berkata, suspek telah tamat tempoh reman kelmarin sejak direman Jumaat.
“PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan merujuk kertas siasatan tersebut mengikut peruntukan Perjara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Kelmarin, polis menahan seorang lelaki selepas memuat naik video di Twitter dipercayai unsur perkauman dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Pemilik Twitter Zulfadli @Bumilangit mendakwa tidak mengetahui kesalahan dilakukan dan hanya dimaklumkan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.