Keadaan kedua-dua mangsa dalam Toyota Hilux itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua yang lain cedera apabila dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan lori bertembung di Batu 16 Jalan Lahad Datu-Sandakan, dekat sini, hari ini.
Mangsa berusia 20 tahun yang maut adalah pemandu Hilux itu, manakala yang cedera ialah penumpang Hilux iaitu seorang lelaki berusia 58 tahun dan pemandu lori lelaki berusia 54 tahun.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu diterima pada jam 1.48 petang menerusi talian MERS 999.

Sepasukan anggota bersama jentera, diketuai Komander Operasi, PB Abdul Ghani Abdul Sani dar Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi yang terletak 23 kilometer dari BBP.
Setiba di lokasi, didapati terdapat tiga orang mangsa lelaki terlibat, iaitu seorang pemandu lori yang mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS dan dua lagi mangsa dalam Hilux di mana pemandunya telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan penumpangnya yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang.