PENAMPANG: Rakyat Sabah tidak lupa bagaimana kerajaan pimpinan Warisan hampir memusnahkan ekonomi negeri, mengecutkan KDNK Sabah daripada paras tertinggi 8.2 peratus pada 2017 kepada -9.2 peratus pada 2020.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang, Ceasar Mandela Malakun berkata, Sabahan menderita kerana kelembapan ekonomi.
“Sebab itu, rakyat memilih untuk menyingkirkan Warisan dan rakannya Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya Sabah 2020.
“Rakyat Sabah menyelamatkan negeri ini dengan mengundi pemimpin yang mereka tahu boleh memulihkan ekonomi.
“Dan ianya pilihan yang tepat kerana hanya dalam tempoh 15 bulan, Kerajaan Negeri GRS-BN berjaya mengembalikan ekonomi Sabah ke landasan yang betul. Tahun lepas, selepas aliran menurun ekonomi yang berterusan di masa pemerintahan kerajaan Warisan, Sabah berjaya membawa semula KDNKnya kepada paras hijau iaitu pada 1.1 peratus,” kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ceasar Mandela Malakun
Mandela berkata, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal boleh berhujah sepanjang hari bahawa bukan salahnya ekonomi Sabah merosot dengan ketara pada 2020 kerana seluruh negara turut mengalami KDNK negatif.
Bagaimanapun, beliau (Mohd. Shafie) terlupa untuk menyebut, daripada semua negeri di Malaysia, rekod Sabah adalah yang paling teruk.
“Malah Kelantan hanya mencatatkan pertumbuhan KDNK -1.2 peratus. KDNK Sabah jauh lebih teruk daripada purata negara iaitu pada -5.5 peratus,” katanya.
“Hakikat bahawa Kerajaan Negeri GRS-BN berjaya memulihkan ekonomi kepada pertumbuhan KDNK 1.1 peratus tahun lalu adalah satu keajaiban.
“Tetapi sudah tentu, Mohd. Shafie akan mengabaikan petunjuk ekonomi ini dan sebaliknya memberi tumpuan kepada perkara seperti Yayasan Sabah memberi biasiswa kepada pelajar seolah-olah ia hanya bermula pada 2018 semasa pemerintahan Warisan.”
Mandela berkata, adalah penting untuk rakyat mengetahui tentang pertumbuhan KDNK Sabah kerana ia merupakan petunjuk terpenting kesihatan ekonomi Sabah.
“Amaran kemelesetan 2023 telah datang. Peluang terbaik kita untuk Sabah adalah berharap kita mempunyai kerajaan yang tahu bagaimana untuk melembutkan tamparan itu. Kita memerlukan pemimpin yang berwawasan dan tahu ke mana mereka mahu memimpin Sabah.
“Kerajaan Sabah sekarang telah pun mempunyai visi ini melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Di bawah pelan ini, sebanyak 584 inisiatif merangkumi 304 inisiatif teras dan 280 pemboleh telah dirangka untuk dilaksanakan sejak 2021.
“Banyaknya inisiatif dalam hala tuju ini adalah sesuatu yang mengagumkan dan pastinya, Kerajaan akan terus menambahnya bergantung kepada kemajuan pelan induk ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang boleh terus bermain politik, kerana nampaknya itu satu-satunya perkara yang mereka mahir kerana mereka telah membuktikan betapa buruknya mereka dalam pemerintahan sebenar.
“Di bawah Kerajaan GRS-BN, Sabah kembali ke landasan yang betul. Hasil Sabah mencecah rekod RM5.449 bilion pada 2021 dan tahun ini akan menjadi satu lagi kejayaan bagi Sabah kerana hasil negeri kita diunjurkan melebihi RM6 bilion.
“Tetapi kerja itu masih jauh daripada selesai. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk kebaikan Sabah dan rakyatnya. Satu-satunya perkara yang kita perlukan sekarang ialah sokongan anda, undi anda supaya Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) dapat dilaksanakan sepenuhnya,” kata Mandela.