Pasukan penguat kuasa membuat pemeriksaan di kawasan mayat ditemukan maut akibat ditembak dekat Taman Alam Jaya di Kuala Selangor, Selangor, semalam.
KUALA SELANGOR: Suasana di sekitar Taman Alam Jaya di sini, gempar apabila seorang lelaki ditemukan mati akibat terkena tembakan semalam.
Mayat mangsa warga tempatan berusia 29 tahun itu ditemukan dalam keadaan tertiarap atas jalan di kawasan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian tembakan, kira-kira pukul 11.40 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati lokasi itu merupakan deretan rumah kedai satu tingkat.
“Lelaki itu ditemukan tertiarap dan sebuah motosikal Yamaha LC135 dipercayai ditunggang mangsa turut berada di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan turut menemukan beberapa kesan tembakan pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas Ramli, Unit Forensik Selangor turut menemui beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.