KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 328 kes baharu Covid-19 hari ini, turun 26 kes berbanding kelmarin (354).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walau bagaimanapun penurunan kes hari ini tidak mencerminkan keadaan semasa yang tidak banyak berbeza daripada sebelumnya.
Menurut beliau, statistik harian turun-naik setiap hari di banyak daerah tetapi kadar penularan kekal pada tahap yang membimbangkan.
Malah, katanya, kadar positiviti naik daripada 12.64% kelmarin kepada 13.95% hari ini.
“Faktor yang menyebabkan angka kes harian hari ini lebih rendah daripada kelmarin ialah jumlah sampel ujian yg jauh lebih rendah daripada sebelumnya.
“Jumlah sampel ujian hari ini ialah 2,560 berbanding 2,999 kelmarin,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Jumlah daerah yang mencatat penurunan kes baharu ialah 17 daerah berbanding lapan daerah yang mencatat penurunan.
Masidi berkata, Beaufort mencatatkan penurunan 12 kes setelah kembali kepada ‘daerah sifar kes’, Papar 18 kes (-10), Kuala Penyu 1 kes (-10), Lahad Datu 4 kes (-8), Ranau 2 kes (-6), Tambunan 1 kes (-6) dan Sandakan 8 kes (-6).
Putatan mencatat 36 kes baharu (+29), Penampang 42 (+10) dan Kota Kinabalu 96 kes (+5).
“Perubahan turun-naik angka jangkitan secara drastik hampir setiap hari dibeberapa daerah agak sukar diramal. Sikap masyarakat terhadap pematuhan SOP banyak mempengaruhi statistik harian.
“Antaranya ialah keperluan mengemaskini maklumat MySejahtera setelah membuat ujian kendiri dan didapati positif. Statistik yang diperolehi melalui pemberitahuan secara sukarela dalam aplikasi MySejahtera dan hasil ujian dilapangan yang dibuat oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merupakan asas pengiraan statistik harian Covid,” ujarnya.
Secara keseluruhan, tujuh daerah mencatatkan jangkitan baharu dua angka, 15 daerah mencatat satu angka dan lima daerah tidak mencatat sebarang jangkitan baharu sepanjang 24 jam yang lalu.
Sebanyak 324 daripada 328 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, serta masing-masing dua kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Kinabalu 96 (91)
Penampang 42 (32)
Sandakan 38 (44)
Putatan 36 (7)
Tawau 31 (39)
Tuaran 24 (27)
Papar 18 (28)
Kota Belud 9 (9)
Tenom 5 (2)
Lahad Datu 4 (12)
Keningau 3 (4)
Kinabatangan 3 (5)
Kota Marudu 3 (4)
Kudat 3 (3)
Kunak 3 (0)
Sipitang 3 (0)
Ranau 2 (8)
Beluran 1 (1)
Kuala Penyu 1 (11)
Nabawan 1 (3)
Tambunan 1 (7)
Telupid 1 (0)
Beaufort 0 (12)
Kalabakan 0 (1)
Pitas 0 (1)
Semporna 0 (2)
Tongod 0 (1)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin. – 12/08/2022)
Kluster Baharu
Tiada