Dari kiri ke kanan – Dariss, Yan, Mardiana, Cyrille, Myra Arina dan Thien.
KOTA KINABALU: Sabah buat julung kalinya menghantar atlet untuk bertanding di pentas antarabangsa pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 dan Grand Slam Dunia 2022 bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya, yang akan berlangsung pada 9 – 21 Ogos 2022.
Pasukan Muay Thai Negeri Sabah menghantar atlet seni Duo Mae Muay Lelaki yang diwakili oleh Dariss Muzzamiel, Thien Zhi Cheng dan Duo Wanita, Myra Arina Roslan dan Yan Jia Chi ke kejohanan tersebut.
Bersama mereka ialah 10 orang atlet remaja negeri yang diwakili oleh Hallary Boy Henry, Dazrey Dynnie Aznee, Dazaisy Hafiy Aznee, Chester Archie Arthur, Ashley Chow Kar Kit, Ethan Adam Azry, Akmal Zaim Rosyidi, Jezzevelle Myora Jerry, Evan Aron Warren, Deidra Jacquelina Richard.
Mereka diiringi oleh Ketua Jurulatih Negeri Sabah, Cyrille Dhillon Tahing, jurulatih Mae Muay, Mardeana Maulana, serta jurulatih pelapis remaja Rozaimy Ahad dan Muhammadin Janudin.
Ini merupakan peluang besar bagi atlet Muay Thai Sabah untuk bertanding di pentas antarabangsa di mana Malaysia sendiri menjadi tuan rumah. Atlet-atlet tersebut bukan sahaja akan mendapat pendedahan malah juga dapat membawa balik pingat untuk negara dan Sabah.
Cyrille berharap, para atlet remaja menggunakan peluang ini sepenuhnya dan menunjukkan bakat yang terbaik untuk mendapat pingat untuk negara di pentas antarabangsa.
“Bukan itu sahaja, malah dengan ini juga dapat menyuntik semangat para atlet pelapis remaja yang lain untuk berada di pentas antarabangsa di masa akan datang,” katanya.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah (PMNSabah), Haji Nazri Ab Razak berkata, ini juga merupakan kali pertama Sabah menghantar atlet Seni Mae Muay Thai untuk bertanding di pentas antarabangsa dan memberikan pendedahan untuk bertanding dengan atlet Mae Muay Thai dari negara lain.
Kejohanan dunia ini menarik lebih 1500 delegasi dan atlet remaja dari 101 negara di bawah naungan badan Muay Thai dunia, International Federation of Muay Thai Association (IFMA).