Dr Suppiah (kanan) berkongsi bahaya denggi dan cara pencegahannya melalui Setagal Bersama JaPen
PERKATAAN ‘Setagal’ yang berasal daripada Bahasa Melayu Kedayan / Brunei membawa makna sekejap atau sebentar, menjadi pilihan Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Pesekutuan Labuan untuk digunakan sebagai tajuk program ‘Facebook Live’ bagi menyebarkan maklumat yang berguna kepada masyarakat.
Menurut Ketua Cawangan Media Siber, JaPen Labuan, Md Khairul Azad Yunus, Program ‘Facebook Live’ JaPen Labuan dijenamakan semula sebagai ‘Setagal Bersama JaPen’ bagi menarik perhatian orang ramai, terutama masyarakat Labuan itu sendiri.
“‘Facebook Live’ menjadi antara program atau produk baharu Bahagian Media Siber JaPen bagi menyebarluaskan sesuatu maklumat dan ilmu pengetahuan dengan cara yang cepat dan mudah kepada masyarakat.
“Hampir semua rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook, maka JaPen mengambil kesempatan itu dengan menggunakan platform web rangkaian sosial tersebut bagi menjayakan peranannya sebagai penyampai dasar atau maklumat kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Gilbert (kanan) semasa berkongsi kursus dan latihan kemahiran yang disediakan Jabatan Kemajuan Msayarakat (KEMAS) Labuan
Jelasnya, ‘Setagal Bersama JaPen’ sudah mula bersiaran sejak kira-kira setahun lalu dengan menampilkan pelbagai topik menarik, meliputi dasar atau inisiatif kerajaan mahupun mengenai budaya serta sejarah Labuan.
“Sejak setahun lalu, Setagal Bersama JaPen sudah bersiaran lebih kurang 30 kali dengan pelbagai topik yang menarik para penonton, terutama penonton dari Labuan, dengan anggaran mengumpul tidak kurang 30 ribu tontonan. Ini membuktikan kaedah ini memang berkesan serta dekat di hati penduduk Labuan.
“Topik-topik dan tetamu jemputan juga meliputi pelbagai peringkat umur serta kaum, menjadikan Setagal Bersama JaPen satu produk baharu yang mendapat perhatian ramai serta berpotensi menjadi salah satu medium utama JaPen dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat bagi menggantikan kaedah terdahulu yang kelihatan sudah kurang relevan,” jelasnya.
Tegasnya, ‘Facebook Live’ merupakan kaedah yang mudah, cepat dan berimpak tinggi dalam menyebarkan sesuatu maklumat tanpa melibatkan sebarang kos.
“Kita hanya perlu peralatan komunikasi yang minimum seperti yang dimiliki oleh kebanyakan orang ramai seperti telefon pintar, mikrofon dan liputan Internet selain masa siaran yang singkat antara lima ke sepuluh minit.
“Saya amat berterima kasih kepada Bahagian Media Siber JaPen yang memperkenal kaedah ini kepada semua Bahagian Media Siber di peringkat negeri kerana ia terbukti berkesan serta memudahkan penyebaran maklumat dengan meluas tanpa mengambil masa yang lama,” katanya lagi
Sementara itu, Pegawai Perubatan, Unit Vektor Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Suppiah AL Anarsalam, juga berterima kasih kepada JaPen Labuan kerana memberi peluang bersiaran dalam Setagal Bersama JaPen.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada JaPen yang memberikan peluang kepada kami untuk memberikan informasi awal kepada masyarakat tentang bahaya denggi dan cara pencegahan dalam topik ‘Banteras Denggi Tanggungjawab Bersama’ .
“Informasi kami sampai kepada masyarakat Labuan dan peratus peningkatan kes demam denggi menurun sejak Jun lalu, selagi gus membuktikan Setagal Bersama JaPen menjadi saluran yang cepat membawa informasi penting kepada warga Labuan,” kongsinya.
Pegawai KEMAS Daerah Labuan, Gilbert Julian yang pernah tampil dalam Setagal Bersama JaPen, turut memuji pembaharuan dalam kaedah penyampaian maklumat JaPen.
“ Pendekatan yang dibuat untuk menyampaikan dasar kerajaan melalui pendekatan dalam talian amat sesuai pada situasi ketika ini yang membolehkan maklumat berjaya disampaikan dengan cepat dan tepat.
“Pendekatan ini juga merupakan medium perubahan kepada masyarakat luar bandar untuk celik IT disamping mengetahui dasar dan program yang disampaikan oleh kerajaan,” jelasnya lagi.