Sharif Ahmad (tengah) bersama dua pesilat
KOTA BELUD: Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Kota Belud telah menganjurkan Program Semarak Gemilang 2022 malam Sabtu untuk menggelorakan dan meningkatkan semangat cintakan negara dan mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Program tersebut merupakan antara aktiviti Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Pegawai Penerangan Daerah Kota Belud, Sharif Ahmad Shah Sh.Mundui berkata, program ini bertujuan untuk menggelorakan dan meningkatkan semangat cintakan negara serta mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan masyarakat.
“Ia merupakan satu usaha untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda untuk menghayati erti kemerdekaan,” katanya.

Dayang Salmiah Jamil
Program yang bermula pada pukul 8 malam di Perkarangan Majlis Daerah Kota Belud itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Di samping penyerahan Jalur Gemilang dan persembahan artis PENTARAMA, satu majlis penghargaan turut berlangsung bagi meraikan kejayaan dua anak jati Kota Belud, Nor Farah Mazlan (Pingat Emas) dan Mohammmad Amiruddin Azmi ( Pingat Gangsa), pada kejohanan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Melaka.
Selain bekerjasama dengan Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Daerah Kota Belud, Program Semarak Gemilang itu juga turut mendapat sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan serta agensi-agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Rudy Mustal
“Kita menghargai kehadiran ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, swasta, pemimpin-pemimpin masyarakat, belia dan orang ramai di daerah ini,” ujar Sharif Ahmad.
Sementara itu, seorang daripada peserta program tersebut, Rudy Mustal menyambut baik penganjuran program itu dan berharap ia dapat mencapai objektifnya untuk menyemarakkan lagi nilai patriotisme dan semangat mengibarkan Jalur Gemilang, di samping mengekalkan perpaduan dan ikatan silaturrahim.
“Saya berharap program ini dapat memberikan manfaat kebaikan yang lebih baik, terutama dalam aspek memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya menerusi Keluarga Malaysia,” kata seorang lagi peserta, Dayang Salmah Jamil.
