Pasar Pekan Inanam
KOTA KINABALU: Bangunan Pasar Pekan Inanam di sini telah dipilih oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk dicalonkan dalam Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2022.
Kempen ini dianjurkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, bagi memastikan kebersihan dan keteraturan Pasar Pekan Inanam, satu sesi Libat Urus Penjaja Bersama Mayor telah diadakan pada 8 Jun, 2022 dan seterusnya Program Gotong Royong di Pasar Pekan Inanam sempena Kempen Pasar Awam Bersih telah diadakan pada 23 Jun, 2022 dan 13 Julai, 2022.
“Skop pembersihan termasuklah pembersihan parit di dalam dan luar bangunan pasar dan keteraturan dalam pasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, DBKK mengucapkan terima kasih kepada semua penjaja Pasar Pekan Inanam, agensi-agensi luar dan jabatan DBKK yang terlibat dalam menjayakan program-program tersebut.
“Diharapkan objektif kempen ini tercapai dan seterusnya menjadikan Pasar Pekan Inanam sebagai salah satu pasar contoh di bandar raya Kota Kinabalu,” ujarnya.
