Keadaan lori yang terbabas sendiri dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tuaran-Kota Belud, Bukit Kelawat. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Seorang lelaki tempatan mengalami cedera ringan selepas lori yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sini pada pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Tuaran-Kota Belud, Bukit Kelawat, pada kira-kira jam 7.30 pagi.
“Kita menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian balai pada jam 7.44 pagi dan sepasukan anggota seramai sembilan orang diketuai Pegawai Operasi, PBKII Mohd. Zulfadli Usman bersama sebuah jentera FRT, sebuah van EMRS dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi tersebut.

“Setibanya di tempat kejadian yang terletak 21 kilometer dari balai Bomba itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah lori 1.5 tan yang telah terbabas sendiri melanggar pembahagi jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berumur 26 tahun mengalami kecederaan. Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurut Muhammad Syazwan, selepas memastikan tiada kemerbahayaaan lain di lokasi berkenaan, operasi ditamatkan pada jam 8.13 pagi.