Azuary (tiga dari kiri) bersama Hamild (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan anjuran JaPen Tawau
TAWAU: Lebih 200 orang menyertai Program Merdeka sempena Bulan Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Tawau, di Dewan Serbaguna Kampung Balung Cocos, terletak 29 kilometer dari sini.
Program tersebut merupakan antara pelbagai aktiviti jabatan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di seluruh daerah.
Mereka yang menyertai program tersebut merupakan rakan strategik JaPen yang terdiri datipada ahli Komuniti Keluarga Malaysia (KKM), belia dan guru-guru serta pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Balung Cocos Tawau.

Azuary (kiri) bersama Hamild (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama
Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Hamild@Hamid Hj Awang itu juga dijayakan sebagai usaha awal untuk menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Dalam ucapannya Hamlid berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, bersamaan dan kesyukuran.
“Ini selaras dengan apa yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, pada 22 Ogos 2021” katanya.
“Sebagai warganegara bumi bertuah ini, kita seharusnya bersyukur dan berbangga menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan Merdeka, yang telah mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni aman dan sejahtera.

Azuary (kiri) menyantuni tetamu yang hadir
“Marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini,” katanya.
Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada JaPen Tawau atas usaha untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan pada saban tahun dalam kalangan rakyat.
Terdahulu, Pegawai JaPen Tawau, Azuary Abdul Azis, dalam ucapannya berkata keamanan yang dikecapi kini merupakan suatu yang penting untuk dijaga agar kemerdekaan negara yang telah diperjuangkan oleh para pejuang tanah air terdahulu, dipertahankan oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Penyebaran berita palsu merupakan suatu ancaman kepada keamanan negara. Dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari merupakan perkara yang perlu setiap lapisan masyarakat sedar dan mengelak daripada “like and share” tanpa usul periksa akan kesahihannya.
“Jika ini (sikap tidak ambil peduli) ini terus berlaku, maka akhirnya ia akan mengancam keamanan negara,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak orang ramai khususnya di Kampung Balung Cocos ini supaya turut serta menjayakan Kempen Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Sepanjang program tersebut, pelbagai akitiviti diadakan, termasuk Perarakan Jalur Gemilang, Pameran PMR JaPen Tawau dan Pusat Internet Balung Cocos, Persembahan Deklamasi Sajak, Penyampaian Jalur Gemilang, serta pemasangan bendera di rumah, kedai dan kenderaan yang terpilih secara Simbolik.
