Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kedudukan Barisan Nasional (BN) Sabah akan bertambah kukuh apabila ia muncul sebagai satu entiti yang akan menggabungkan beberapa parti politik Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan beberapa klausa dalam Perlembagaan BN akan dilakukan bagi membolehkan BN Sabah muncul sebagai satu entiti khas yang membenarkan parti-parti lain menyertai BN, selain daripada parti teras iaitu UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Beliau berkata, pindaan klausa itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN untuk pengabsahan.
“Pada masa ini, kuasa autonomi hanya diberikan kepada UMNO Sabah. Bagi autonomi BN Sabah, kita perlu pindah salah satu klausa Perlembagaan BN yang bersesuaian bagi meletakkan BN Sabah sebagai satu entiti khas.
“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan ahli Parlimen yang mewakili BN masih tertakluk kepada BN Malaysia untuk perincikan.
“Bukan beri autonomi bagi calon ahli Parlimen yang mewakili BN di 25 Parlimen Sabah, itu masih tertakluk kepada BN Pusat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen BN Sabah hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pada masa ini terdapat empat parti termasuk satu parti daripada Sabah memohon menyertai BN. Namun, permohonan mereka belum diputuskan dan akan diberi pertimbangan apabila tiba masanya.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN Sabah hanya dianggotai oleh empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.