Nadzerah berucap merasmikan Program Cambah Minda.
SANDAKAN: Golongan belia merupakan sumber modal insan terbesar dalam negara, kata Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah.
“Golongan ini berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara seperti yang dinyatakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara.
“Antara yang terkandung dalam dasar tersebut termasuklah usaha kerajaan memperkukuh dan menyerlahkan potensi modal insan dalam kalangan golongan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara pada masa hadapan, berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” ujar Nadzerah.

Sesi foto bersama peserta yang hadir.
Tambahnya, seiring dengan tema program iaitu “Generasi Muda Memacu Masa Depan Negara”, beliau berharap generasi muda sentiasa cakna bahawa mereka adalah pewaris dan penentu masa depan negara.
“Kita juga amat berharap golongan belia hari ini mampu menyampaikan pandangan dan pendapat secara bernas berkenaan isu-isu semasa agar isu-isu yang dibangkitkan dijadikan data berguna bagi persiapan mereka merangka seterusnya menerajui hala tuju negara pada masa akan datang,” jelas beliau.
Nadzerah berkata demikian semasa merasmikan Program Cambah Minda yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Sabah di Dewan SMK Batu Sapi, Sandakan.
Program tersebut menampilkan panel penceramah dari Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sabah Lydrianna Koh, Pegawai Penerangan Daerah Sandakan Abdul Aziz Abdul Karim dan Shaminah Nawar dari SMK Batu Sapi sebagai moderator, yang turut dihadiri Guru Besar SMK Batu Sapi Esmadi Ismail.