PAPAR: Program Infiesta PENTARAMA anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) yang diadakan di Bongawan, di sini, baru-baru ini berlangsung sangat meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang pengunjung.
Ini menjadikan program seumpama ini, yang mengajak orang ramai berhibur sambil menerima informasi, satu pendekatan yang sangat berkesan untuk menyalurkan maklumat tentang isu semasa dan dasar terkini kerajaan.

Suasana dalam program
“Bagi saya, program ini mencapai objektif dengan kehadiran melebihi 1,000 orang. Persembahan berinfomasi oleh artis-artis PENTARAMA mendapat respons positif di mana pengunjung turut serta dalam acara tarian dan nyanyian.
“Sketsa pendek juga diselitkan dalam persembahan membawa mesej semasa berkaitan penipuan dalam talian dan penyebaran berita palsu,” kata Mohammad Zulkarnain Othman, 45, kepada WO.

Mohammad Zulkarnain Othman
Penerbit Rancangan PENTARAMA Sabah itu berkata mengikut perancangan JaPen dan unit PENTARAMA, program ini juga akan laksanakan di Tawau pada 3 Julai dan dua lagi daerah yang akan ditentukan kemudian.
“Saya berharap agar masyarakat dapat membudayakan dasar-dasar kerajaan yang disampaikan dan mengukuhkan lagi perpaduan Keluarga Malaysia di negeri ini,” katanya.
Tantiana Tukiman, 29, salah seorang artis PENTARAMA yang terlibat dalam program itu turut meluahkan kegembirannya melihat sambutan yang begitu meriah.

Tantiana Tukiman
“Sebagai artis PENTARAMA yang baru berkhidmat lebih setahun di Sabah, ini merupakan showcase pertama kami setelah dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19 dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang meriah daripada masyarakat Bongawan.
“Bukan itu sahaja, kami merasa gembira, lega dan bersyukur kerana berjaya mencapai objektif utama kami iaitu menyampaikan maklumat dasar kerajaan melalui persembahan pentas nyanyian, tarian dan sketsa agar masyarakat mudah memahami, menyokong dan menerima wawasan dan objektif dasar kerajaan melalui aktiviti seni dan budaya.

“Dari segi pemilihan lagu persembahan, kami gabungkan lagu-lagu lama dan baharu yang bermesej, di samping lagu-lagu tempatan Sabah serta beberapa buah lagu tradisi masyarakat Bongawan. Manakala bagi sketsa pula kami fokus untuk menyampaikan isu terkini iaitu penyebaran berita atau maklumat yang tidak sahih dan mangsa penipuan dalam talian,” ujarnya.
Tantiana berkata,program Infiesta PENTARAMA sudah semestinya perlu diperluaskan, kerana ia merupakan salah satu peluang untuk mendekati orang ramai secara bersemuka dalam usaha menyampaikan maklumat semasa dan dasar kerajaan.
“Ia juga masih relevan dalam zaman yang canggih ini kerana ia lebih bersifat ‘peribadi’ dan interaksi lebih berkesan, ” katanya.
Dalam ucapannya pada program tersebut, Pengarah JaPen Sabah, Nadzerah Abdullah berkata Infeista merupakan gabungan nama “info” dan “fiesta” yang membawa erti pesta keramaian yang bermaklumat serta program inovasi gabungan ketiga-tiga cabang dasar program PENTARAMA sebelum ini iaitu Showcase PENTARAMA, Infobusking PENTARAMA dan PENTARAMA Fit Dance.
Katanya, program ini juga sebagai medium saluran hiburan yang bermaklumat bagi menyampaikan dasar dan kempen kerajaan secara santai kepada masyarakat, secara hibrid seperti yang telah dilaksanakan sepanjang 50 tahun usia cawangan PENTARAMA di seluruh Malaysia.
Program ini juga bertujuan meningkatkan jaringan sosial Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan mesej dan kempen kerajaan kepada masyarakat secara santai, jelas beliau.
