PUTRAJAYA: Seorang lelaki gila seks diburu polis selepas menunjukkan kemaluan kepada pelajar sebuah sekolah menengah di Presint 9, di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan lelaki berkenaan kini sedang diburu pihaknya.
Beliau berkata, pihaknya menerima dua laporan polis daripada dua pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan berhubung kejadian itu.
“Kami sudah mendapatkan butiran suspek berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan yang dikongsi pelajar berkenaan. Polis sedang menjejaki suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
A. Asmadi berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian itu berlaku di hadapan tempat letak kereta awam di hadapan Kompleks Sekolah Putrajaya Presint 9 (2).
Katanya, mangsa mendakwa didekati seorang pemuda yang menaiki kereta jenis Proton Persona berwarna kelabu sebelum bertanyakan sesuatu kepada pelajar itu.
“Sejurus selepas itu, suspek tiba-tiba membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada pelajar perempuan tersebut. Pelajar itu kemudian melarikan diri, namun sempat merakam gambar kereta dan nombor plat kenderaan tersebut,” katanya.