Bung Moktar Radin
KOTA KINABALU : Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini di grand ballroom International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang akan menjadi medan memperkukuhkan solidariti parti itu khususnya di Sabah.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, konvensyen yang dijangka dihadiri sekitar 5,000 peserta dari seluruh Sabah ini juga akan menjadi saksi betapa kukuhnya kesepakatan sebuah gabungan parti yang turut memberikan sumbangan terbesar kepada pembentukan Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Menurut beliau, konvensyen ini berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli parti itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang disifatkan paling sengit dalam sejarah PRU Malaysia.
” Justeru, ahli-ahli BN khususnya peserta yang hadir ke konvensyen ini perlu memanfaatkan pertemuan ini bagi membincangkan isu-isu yang relevan untuk memperkasakan perjuangan parti, serta melihat secara jujur segala rencana dan pelan BN, dalam mengatur persedian menghadapi pilihan raya umum akan datang.” katanya dalam satu perutusan yang dikeluarkan di sini sempena Konvensyen BN Sabah 2022.
Menurut Bung yang juga Ketua Umno Sabah, BN adalah satu gabungan politik yang memerlukan saf kepimpinan dan jentera semua parti komponen yang bersatu hati untuk menghadapi PRU15.
‘ Walaupun kita hanya ada empat parti dalam komponen BN di Sabah namun kita memerlukan antara satu sama lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada, BN perlu mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalam dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berhadapan PRU yang akan diadakan bila bila masa sahaja,” jelas Bung.
Beliau berkata, amat penting kesiapsiagaan bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi gerak kerja yang dilakukan perlu berbeza dengan pilihanraya sebelum ini.
“Kita mahu kewujudan BN itu bukan sahaja dihargai namun sentiasa dekat dihati rakyat sebagai jenama yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya
Tambah Bung, Umno telah bergerak sekian lama namun BN mahu parti-parti lain bersama-sama dengan Umno untuk bergerak seiring sejalan di dalam menentukan kemenangan PRU15.
Pelbagai program siap diatur untuk pengisian konvensyen kali ini antaranya Forum “Politik dan Ekonomi Sabah” dengan menampilkan ahli-ahli panel Datuk Seri Salleh Tun Said, Datuk Ahmad Shabery Cik, Drs Monih Epin dan Prof Madya TS Dr Ramzah Dambul, yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Pamela sebagai moderatornya.
Turut mengisi program ialah Bicara Seorang Negarawan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Turut diadakan Forum Anak Muda dimana Ketua Pemuda Umno Sabah Ir Aziz Julkarnain (Umno), Prof Madya Dr Edwin (PBRS), Roger (MCA) dan Azuwan Marjan dari Majlis Belia Malaysia akan menjadi ahli panel dan Moderatornya Ketua Puteri Umno Sabah Datuk Dr. Fadilah Sabri.
Konvensyen ini akan dirasmikan penutupannya oleh Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.