Simiun (depan, kiri), Kenny (depan, kanan) dan yang lain-lain dalam program berkenaan
RANAU: Mangsa penipuan alam siber seperti Macau Scam telah kerugian mencecah jutaan ringgit di Ranau dan pemimpin masyarakat yang menghadiri taklimat keselamatan di sini, diminta turut membantu mencegahnya daripada berleluasa.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden (DSP) Semiun Lomudin berkata kes penipuan melalui platform dalam talian ini adalah pelbagai seperti pinjaman wang atau pembelian kenderaan yang tidak wujud dan nilai kerugian keseluruhan setakat ini di Ranau adalah sebanyak RM1.8 juta.
“Atas sebab itu, saya menasihatkan pemimpin masyarakat akar umbi supaya memberikan maklumat secukupnya kepada orang ramai supaya tidak berurusan dengan mereka (macau scam) kerana ia merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Simiun berkata demikian ketika menyampaikan taklimat pada Program Santai Info On Wheels@Diskopi dan Taklimat Keselamatan dan Jenayah di Bilik Mesyuarat Jabatan Penerangan (JaPen) daerah Ranau pada Khamis.
Program anjuran JaPen Ranau itu dihadiri kumpulan fokus yang dianggotai lebih 30 ketua masyarakat akar umbi dari seluruh daerah Ranau.
Beliau turut meminta pemimpin setiap kampung khususnya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung supaya memberi kerjasama melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian mencurigakan di kawasan mereka.
“Ini termasuk, jika mereka mengetahui kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)…laporkan segera jika ada PATI di mana-mana kampung untuk siasatan lanjut,” kata Simiun.
Simiun turut menegaskan supaya dilaporkan atau diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya ketua masyarakat mengetahui ada kejadian memiliki, menyimpan atau membuat senjata api buatan sendiri (Bakakok) dalam kalangan penduduk kerana ia merupakan suatu kesalahan yang boleh didakwa.
Sementara itu Pegawai JaPen Ranau, Kenny Thomas dalam ucapannya menjelaskan bahawa program penerangan itu merupakan aktiviti yang dijalankan JaPen ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan bukannya seperti yang dihebahkan melalui aplikasi Whatsapp yang kadangkala mengelirukan dan tidak tepat.
“Objektif program sebegini juga adalah untuk meningkatkan kefahaman, kesedaran kepada orang ramai mengenai dasar, program dan inisiatif kerajaan berkaitan hal keselamatan,” katanya.
Program itu turut dihadiri Ketua Kemajuan Masyarakat (PPM) Paginatan, Mohd Hisyamudin Harun, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Bandar (JKDB) Bandar Ranau, Tan Eng Sing, dan Ahli Jawatankuasa Komuniti Keluarga Malaysia daerah.
