Julita (dua dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Delin dalam kursus Pemantapan Pengurusan Rukun Tetangga, Taklimat Pelan Pemerkasaan & Gerak Kerja Komuniti KRT Daerah Kecil Matunggong baru-baru ini.
KUDAT: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) semakin mendapat perhatian masyarakat di daerah kecil Matunggong berikutan kejayaan jenteranya melaksanakan program berteraskan aktiviti kemasyarakatan secara berterusan.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, ini sekaligus memberikan harapan baharu dalam menggalakkan pelaksanaan aktiviti seumpama itu yang mampu mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat.
“Saya berbangga kerana di kawasan Matunggong ini kerana masyarakatnya terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai KRT sentiasa mempunyai inisiatif yang pelbagai untuk komuniti.
“Pada tahun lalu, saya telah menggalakkan semua kampung dan rumah panjang untuk menyertai pertandingan kampung indah dan bersih. Saya terpegun dengan beberapa kampung yang telah memulakan dan menitik beratkan kebersihan kampung seperti KRT Kikomi Minyak. Semoga ia menjadi ikutan kepada KRT-KRT dan kampung-kampung yang lain.
“Dari segi keselamatan pula, saya difahamkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwartakan di lapan KRT Matunggong sangat aktif melaksanakan rondaan mingguan bagi mengekalkan kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan di kawasan KRT masing-masing,” katanya ketika merasmikan penutupan Kursus Pemantapan Pengurusan Rukun Tetangga, Taklimat Pelan Pemerkasaan & Gerak Kerja Komuniti KRT Daerah Kecil Matunggong tahun 2022 yang diadakan di Dewan Mini, pejabat daerah kecil Matunggong pada Rabu (22 Jun).

Julita dan Delin (duduk, meja tengah), merakamkan gambar kenangan dengan semua peserta dan tetamu yang hadir dalam program berkenaan.
Kursus itu dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kudat/Matunggong/ Banggi.
Terdahulu, Julita berkata, KRT kini telah menjadi agen penggerak kepada kegiatan sosial masyarakat tanpa mengira lapisan umur, agama, bangsa mahupun agama.
“Malahan, daripada pelaksanaan aktiviti dalam KRT telah melahirkan masyarakat yang lebih bersatu padu tanpa mengira elemen tersebut. Dalam hal ekonomi, politik ataupun sosial, pendekatan KRT telahpun menyerap masuk di mana konsep perpaduan itu sendiri diperkatakan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan, syabas dan tahniah kepada seluruh jentera KRT Daerah Kecil Matunggong atas segala usaha berterusan dan komitmen yang ditunjukkan dalam menggerakkan agenda perpaduan di kawasan rukun tetangga masing-masing.
Beliau berharap, KRT Matunggong terus cemerlang melaksanakan agenda perpaduan demi negara dan masyarakat.
Kursus berkenaan dihadiri oleh semua pengerusi, setiausaha dan bendahari dari 32 KRT Matunggong.
Turut hadir ialah Pengarah JPNIN Delin Liet Blaun dan Penolong Pegawai Daerah, Willey Lampaki.