KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 170 kes baharu Covid-19 hari ini, naik 33 kes berbanding kelmarin (137).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan kes baharu secara berterusan ini gambaran trend yang sama diperingkat nasional.
Katanya, jumlah daerah yang mencatatkan kes baharu atau merekodkan angka jangkitan yang lebih tinggi juga terus bertambah.
“Sebanyak 18 daerah merekodkan jangkitan baharu dengan 17 daripadanya melibatkan peningkatan angka berbanding hari sebelumnya.
“Daripada 18 daerah tersebut, lima daerah iaitu Kota Kinabalu 63 kes (+3), Penampang 29 kes (-13), Putatan 12 kes (+3), Tawau 12 kes (+6) dan Papar 11 kes (+3) merekodkan kes dua angka.
“Sebanyak 13 daerah lagi mencatatkan satu kes. Hanya Penampang merekodkan penurunan jumlah jangkitan yang agak besar, iaitu 13 kes,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurut beliau, 10 daerah yang sebelum ini ‘bebas’ daripada sebarang jangkitan baharu mencatatkan kes baharu hari ini
Katanya, Beaufort mencatatkan pertambahan tertinggi (+9 kes).
Hanya tiga daerah yang kembali merekodkan catatan sifar kes iaitu Pitas, Tongod dan Ranau, katanya, sambil menambah, jumlah daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu berkurangan daripada 16 daerah kelmarin kepada hanya sembilan daerah hari ini.
“Trend peningkatan dijangka akan berterusan sebagaimana yang berlaku di seluruh negara.
“Terdapat juga kemungkinan ini merupakan satu lagi ‘gelombang’ jangkitan Covid-19 yang berpunca daripada varian baharu yang belum diketahui.
“Buat masa ini ia sekadar satu andaian sehingga siasatan dan penyelidikan lanjut dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Walau bagaimanapun, aktiviti sosial tanpa pematuhan SOP berpotensi untuk mencetuskan angka yang lebih tinggi,” katanya.
Sebanyak 164 daripada 170 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, manakala tiga kes dilaporkan dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Kinabalu 63 (61)
Penampang 29 (42)
Putatan 12 (9)
Tawau 12 (6)
Papar 11 (8)
Beaufort 9 (0)
Sandakan 8 (3)
Tuaran 6 (3)
Kudat 4 (2)
Lahad Datu 4 (0)
Kota Belud 3 (0)
Keningau 2 (0)
Semporna 2 (0)
Beluran 1 (0)
Kalabakan 1 (0)
Kuala Penyu 1 (0)
Sipitang 1 (0)
Telupid 1 (0)
Kinabatangan 0 (0)
Kota Marudu 0 (0)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (1)
Ranau 0 (1)
Tambunan 0 (0)
Tenom 0 (0)
Tongod 0 (1)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin. – 23/06)
Kluster Baharu
Tiada