Antara tetamu yang hadir
SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) hari ini melancarkan Kajian Kebolehlaksanaan Pelantikan Polis Bantuan di Resort Pantai Timur Sabah dengan kerjasama daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.
Komander Eastern Command, Deputi Komisioner (DCP) Haji Hamzah Haji Ahmad berkata, cadangan pelantikan polis bantuan di resort pantai timur Sabah ini merupakan tambahan elemen kawalan keselamatan kendiri di premis mengikut peruntukan Bahagian IX, Akta Polis 1967 (Seksyen 47 – Seksyen 50) bagi melengkapi dan mengukuhkan kawalan keselamatan yang sedia wujud di lokasi-lokasi strategik di pantai timur Sabah.
Katanya, kajian tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dan dijangka selesai pada suku tahun ketiga 2022.
“ESSCOM menyeru agar semua pengusaha-pengusaha resort di pantai timur Sabah untuk berganding bahu membentuk kerjasama erat dengan pasukan keselamatan demi melonjakkan kesejahteraan di ESS Zone,” katanya.

Sesi soal jawab
Pelancaran tersebut dibuat semasa Majlis Taklimat Keselamatan ESSCOM Kepada pengusaha-pengusaha resort dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman yang diadakan di Hotel Seafest, di sini, hari ini.
Seramai 42 pengusaha resort sekitar pantai timur Sabah telah hadir menjayakan majlis tersebut.
Melalui majlis ini, pihak pengusaha resort dapat berinteraksi secara terus dengan pihak berkuasa berhubung cabaran keselamatan dalam industri pelancongan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
ESSCOM juga berkesempatan memberikan khidmat nasihat kepada pihak pengusaha resort bagi meningkatkan aspek kawalan keselamatan dan perlindungan secara kendiri di premis masing-masing.
Selain itu, majlis ini juga dapat memupuk hubungan rapat antara ESSCOM dengan pihak pengusaha resort serta mengukuhkan persepsi positif berhubung tahap kawalan keselamatan di ESS Zone yang sentiasa diberi perhatian serius oleh Kerajaan.