Abd Aziz ketika mengedarkan risalah kepada seorang pemandu teksi
Program Info On Wheels atau singkatannya IOW, merupakan inisiatif Jabatan Penerangan (JaPen) dalam mempelbagai kaedah penyampaian maklumat terperinci melalui hebahan unit bergerak, sebagai medium perantara dalam memberi penerangan berhubung isu nasional dan semasa dalam usaha mengekang penyebaran maklumat tidak benar.
Menurut Penolong Pengarah, JaPen Wilayah Persekutuan Labuan, Abd Aziz Mohd Salleh, IOW merupakan pendekatan JaPen dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar, inisiatif, program kerajaan serta sebarang isu nasional kepada Masyarakat, dalam bentuk pengumuman, menggunakan van bergerak.

Abd Aziz sedang mempengerusikan mesyuarat IOW JaPen Labuan, bersama dengan pegawai lain
“Objektif IOW merupakan medium perantara kerajaan dengan rakyat, dalam menyampaikan sesuatu maklumat yang tepat dan sahih, penyampaian secara bersemuka sambil mengedarkan risalah kepada masyarakat serta hebahan berbentuk umum supaya masyarakat dapat menerima terus maklumat yang hendak disampaikan.
“Di samping itu, IOW juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap dasar, program dan inisiatif kerajaan, selain meningkatkan penerimaan, keyakinan, sokongan dan penglibatan rakyat dalam menjayakan dasar, program dan inisiatif kerajaan, serta membantu membina masyarakat yang terhubung, bersatu padu, berilmu dan berintegriti serta membantu merealisasikan dasar, program dan inisiatif kerajaan ke arah pembangunan negara yang progresif, dinamik dan makmur bersama.

Van begerak JaPen Labuan
“Secara dasarnya, IOW telah dilaksanakan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Justeru, IOW di teruskan kerana ia merupakan teras Petunjuk Prestasi Utama (KPI) (Key Performance Indocator) JaPen,” katanya.
Jelasnya, hebahan secara terus berkenaan tajuk hebahan yang ingin disampaikan, amat penting, selari dengan visi JaPen iaitu Membina Masyarakat Terhubung dan Berinformasi selain menterjemah dan memasar maklumat kerajaan melalui pelbagai kaedah komunikasi yang strategik serta berkesan, selari dengan perkembangan ekosistem semasa.

Van bergerak memasuki kawasan taman perumahan
“Selain menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan inisiatif kerajaan dalam pemulihan pasca pandemik ini khusus kepada rakyat, JaPen juga menyampaikan hebahan-hebahan lain seperti pembudayaan norma baharu, kes Covid-19, hentikan penyebaran berita palsu, Vaksinasi Kanak-Kanak (PICKids), jamin kerja, Jualan Keluarga Malaysia, Bantuan Wang Ihsan Banjir, Larian Maya Keluarga Malaysia serta hebahan ke peralihan endemik.

“Hebahan-hebahan ini penting dalam memastikan masyarakat dapat menerima maklumat ini secara terus kepada mereka,” katanya lagi.

Abd Aziz bersama pegawai JaPen mengedarkan risalah kepada orang ramai
Selain itu, JaPen melalui pasukan hebahan bergerak IOW, akan terus mempergiat dan mempelbagai penyampaian maklumat secara ‘two way communication’ and ‘directly’ (komunikasi dua hala dan secara bersemuka) kepada masyarakat supaya mereka tidak ketinggalan daripada menerima maklumat yang tepat, sahih dan terkini.
“Masyarakat kini sememangnya lebih mudah untuk mendapatkan sebarang maklumat melalui jaringan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Whatsapp.

Abd Aziz ketika sedang membuat hebahan dalam van bergerak JaPen Labuan
“Oleh itu, JaPen juga menyampaikan maklumat secara terus ke telinga masyarakat menerusi kaedah IOW, selain mengedar risalah-risalah dan bahan penerbitan berkaitan, menggunakan kaedah jaringan sosial dan bersemuka, yang dilihat amat berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat,”ujarnya lagi.
Beliau turut berharap rakyat tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang sudah pastinya tidak benar, sebaliknya memperoleh maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat sebelum membuat perkongsian di mana-mana jaringan sosial mahupun tutur lisan.
