Keadaan wanita yang melahirkan anak dalam keretanya di Jalan Lintas. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang wanita bersalin sendiri dalam sebuah kereta Perodua Viva di hadapan sebuah kedai di Jalan Lintas Kolombong di sini tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 petang dan sepasukan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II (KUP) Haellven Venson bergegas ke lokasi.
Setiba di lokasi kejadian, mereka mendapati memang benar terdapat seorang wanita bersalin sendiri di dalam keretanya.
Suami wanita yang juga pemandu kereta itu turut berada di lokasi kejadian.

Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba bertindak mengikat tali pusat bayi perempuan itu, sementara menunggu ketibaan anggota Kementerian Kesihatan (KKM) tiba.
Seterusnya, mereka membantu mengeluarkan wanita itu setelah pihak KKM selesai memotong tali pusat dan memindahkannya ke ambulans untuk dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan susulan.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 2.10 petang.
Sementara itu, menurut maklumat terkini dikeluarkan PGO Bomba Sabah, wanita berusia 39 tahun itu difahamkan tidak sempat sampai ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, akibat kesesakan jalan.
Suami wanita itu terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum wanita itu melahirkan anak perempuan di dalam kenderaan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan yang sedang dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian telah berhenti untuk melihat kereta yang berhenti di tepi jalan yang seakan-akan sedang menghadapi kecemasan.
Apabila mendapati seorang wanita telah berjaya melahirkan sendiri bayi perempuan, dan seorang lelaki sedang memangku bayi perempuan tersebut yang dalam keadaan masih lagi bertali pusat, beliau terus menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak KKM melalui talian MERS 999 untuk mengikat tali pusat bayi tersebut.
Pasukan van ERMS Bomba yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum wanita dan bayi tersebut diserahkan kepada ambulans KKM untuk tindakan selanjutnya.
Wanita dan bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di HWKKS untuk rawatan.