Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk proses bedah siasat.
SEREMBAN: Seorang pelajar Politeknik Merlimau, Melaka maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 252 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
“Hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa, Mohd. Naufal Amjad, 19, yang merupakan pelajar Politeknik Merlimau menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah selatan menuju utara.
“Setakat ini, terdapat seorang saksi bebas yang mungkin dapat membantu siasatan lanjut bagi mengesan kenderaan lain yang terlibat,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Katanya, siasatan awal mendapati, bentuk jalan di lokasi kemalangan adalah jalan lurus yang mempunyai tiga lorong sehala dan tiada lampu jalan.
“Mangsa beralamat di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu,” katanya.