PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Mastiara dekat sini pada Sabtu lalu.
Tiga lelaki berusia 37 hingga 43 itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kajang, Selayang dan Sri Kembangan dalam serbuan bermula 11 pagi hingga 4 petang, Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.25 petang ketika seorang warga emas berusia 82 tahun berada dalam kediaman tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, mangsa tidak diapa-apakan penjenayah.
“Dalam kejadian itu, penjenayah turut melarikan beberapa buah komputer riba dan peranti tablet, empat utas jam, beberapa keping kad bank, barangan kemas dan wang tunai RM6,200 dengan kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM20,000.
“Susulan itu, kita berjaya ketiga-tiga suspek di sekitar Selangor pada 16 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit, barangan kemas, dua jam tangan, bag pelbagai jenama, tiga komputer riba dan peranti tablet serta pakaian dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
Jelas beliau, turut dirampas sebuah kereta dan enam unit playar pemotong dan playar laras disyaki digunakan penyamun.
“Hasil siasatan modus operandi melakukan samun secara berkumpulan dengan memanjat pagar kemudian memotong pagar jeriji.
“Kesemua suspek mempunyai pelbagai jenayah lampau dan direman bermula kelmari hingga Isnin depan,” jelas beliau.
Tambahnya, dengan penahanan ini, pihaknya berjaya menyelesaikan satu kes samun di Kuala Lumpur dan dua di Selangor.