Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah (kanan) sedang menerangkan sesuatu kepada Jeffrey yang sedang meneliti gambar-gambar rujukan yang diambil oleh Jabatan Penerangan Sabah pada suatu ketika dulu.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan komited melaksanakan pelbagai program dalam usaha memastikan bekalan makanan di negeri ini mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Datuk Kitingan berkata, salah satu pembaharuan yang dilakukan adalah menerusi program mengenalpasti, mengumpul dan menanam semula spesies- spesies padi dan buahan-buahan yang hampir pupus untuk selaras dengan Program Biodiversiti Sedunia yang bakal diraikan pada 22 Mei 2022.

Nadzerah (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jeffrey.
“Pembaharuan ini turut memberi pengiktirafan kepada pengeluar hasil makanan, padi dan buah- buahan yang berjaya membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang ini sebagai satu langkah yang baik untuk menggalakkan peningkatan pengeluaran.
“Selain itu, penubuhan Pusat Seni Budaya yang bertujuan untuk membantu mengembangkan karier penyanyi dengan lebih baik menerusi program Sugandoi akan dilakukan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah ditemui media pada Program Influencer@Japen sempena Pesta Kaamatan yang bakal diadakan pada 30 dan 31 Mei ini.

Jeffrey semasa menghadiri Program Influencer@Japen sempena Pesta Kaamatan 2022.
Jeffrey hadir sebagai tetamu jemputan dalam Program Influencer Bersama Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 yang bersiaran secara langsung menerusi laman Facebook rasmi jabatan tersebut.
Beliau berharap pesta Kaamatan pada kali ini dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia dan mempromosikan budaya, tradisi serta potensi Sabah dalam sektor pelancongan dan ekonomi untuk menarik perhatian pelancong dan pelabur asing datang ke Malaysia.