Dua mangsa lemas di tasik Puspen ditemukan berada di dasar dengan kedalaman antara lapan hingga 10 meter. – Ihsan Bomba
RAUB: Aktiviti mandi-manda dua sahabat berakhir tragedi apabila mereka ditemukan lemas di tasik Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), di Jalan Gesing-Kampung Kundang Patah di sini, kelmarin.
Kedua-dua mangsa berusia 37 tahun dan 43 tahun adalah pelatih di pusat pemulihan berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 3.04 petang.
“Pasukan penyelamat mendapati terdapat dua mangsa lemas di tasik itu dan melakukan operasi mencari serta menyelamat dengan teknik surface searching menggunakan grappling iron.
“Mangsa pertama ditemukan kira-kira pukul 4 petang di kedalaman 10 meter manakala mangsa kedua dijumpai pukul 4.04 petang di kedalaman lapan meter,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Zulfadli berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.